Pelbagai usaha strategik bagi peningkatan taraf hidup rakyat





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. - Di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan terus melaksanakan pelbagai usaha strategik yang akan membawa perubahan bermakna kepada peningkatan taraf hidup rakyat, seperti meningkatkan peluang pembelajaran, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, menambah baik kemudahan asas bagi rakyat dan penduduk negara serta memperkukuh ekonomi negara.


“Setiap pencapaian tersebut merupakan petunjuk bahawa negara kita sedang bergerak ke hadapan, dengan langkah yang lebih tersusun dan lebih berdaya tahan," demikian ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa mengongsikan beberapa inisiatif, projek dan pencapaian serta peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.


Menurut Yang Berhormat, di bawah matlamat pertama Wawasan Brunei 2035, 'Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya', dalam bidang pendidikan tinggi dan kecemerlangan ilmu, negara terus memperkukuh daya saing institusi pendidikan kita di persada antarabangsa.


Pada tahun 2025, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah meningkat 18 anak tangga dalam QS World University Rankings 2026 ke kedudukan ke 367, sekali gus menempatkan UBD dalam 25 peratus terbaik dunia daripada 8,467 institusi yang dinilai. Momentum ini diteruskan apabila UBD turut melonjak lebih 150 kedudukan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026, memasuki kelompok Top 351-400.


Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga terus menunjukkan prestasi yang membanggakan. Dalam QS World University Rankings 2026, UTB berada pada kedudukan ke-578, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok universiti terbaik di peringkat global. Di rantau ASEAN pula, UTB berada di tangga ke-9 bagi universiti berteraskan teknologi dan kejuruteraan, mencerminkan peranannya sebagai peneraju serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.


Di samping itu tambah Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam (NBD) berada di kedudukan ke-43 daripada 135 buah negara yang dinilai dalam Global Talent Competitiveness Index (GTCI) 2025, sekali gus menempatkan negara dalam sekitar 32 peratus negara teratas di peringkat dunia.


Di bawah Matlamat Kedua 'Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi', kerajaan ujar Yang Berhormat terus menumpukan perhatian kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, persekitaran hidup yang selamat dan selesa, serta jaringan sokongan sosial yang inklusif. Usaha ini bukan sahaja menambah baik kemudahan, bahkan memastikan setiap rakyat — tanpa mengira latar belakang — dapat menikmati perkhidmatan asas yang mudah diakses dan berkualiti.


Dalam aspek kesihatan, keberhasilan dasar kerajaan dapat dilihat melalui indikator-indikator yang memberi kesan langsung kepada rakyat.


“Berdasarkan data pada tahun 2024, jangka hayat ketika lahir mencapai sekitar 79.1 tahun, menandakan peningkatan berterusan dalam akses penjagaan kesihatan dan kualiti hidup.


“Kadar kematian anak damit pula kekal rendah, dianggarkan 11.4 bagi setiap 1,000 kelahiran, menunjukkan keberkesanan program imunisasi, penjagaan antenatal dan neonatal serta rawatan awal penyakit. Kadar kematian kanak-kanak bawah 5 tahun juga berada pada tahap terkawal, iaitu sekitar 14 bagi setiap 1,000 kelahiran, memperlihatkan kejayaan intervensi kesihatan bersepadu untuk kanak-kanak dan ibu," terang Yang Berhormat.


Selain daripada itu, NBD tambah Yang Berhormat juga terus memberi penekanan kepada kualiti hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang mana liputan bekalan elektrik dan air di NBD telah mencapai 99.9 peratus, manakala 99 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada internet.


Pihak kerajaan juga akan terus mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan infrastruktur-infrastruktur sentiasa di dalam tahap yang baik dan terpelihara serta bersedia untuk menyokong keperluan ramai. Ini Adalah termasuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan terus dilaksanakan secara berkesan dan mengikut perancangan dan keperluan semasa.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, di bawah matlamat ketiga iaitu 'Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan', Kerajaan terus melaksanakan langkah strategik selaras dengan Economic Blueprint Negara Brunei Darussalam yang dilancarkan pada tahun 2021, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan.


Usaha ini menumpukan kepada pembangunan ekosistem perniagaan yang berdaya saing melalui pemerkasaan perusahaan tempatan berproduktiviti tinggi, penarikan pelaburan langsung asing bernilai tambah, serta pengukuhan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. Pelaksanaan ini disokong oleh pembangunan modal insan, infrastruktur yang mampan, kelestarian alam sekitar serta tadbir urus yang cekap dan dipercayai.


“Perkembangan ekonomi kekal sebagai fokus utama kerana ia bukan sahaja meningkatkan hasil pendapatan, malah jua mewujudkan peluang pekerjaan di sektor swasta, yang sekali gus memperkukuh asas sosioekonomi secara menyeluruh," tegas Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa perkembangan telah dicapai. Mengikut data terkini, hasil pendapatan Perusahaan meningkat daripada BND25.9 bilion pada tahun 2015 kepada BND35.4 bilion pada tahun 2024. Sementara itu, jumlah pekerja di sektor swasta terus meningkat daripada sekitar 53 peratus pada tahun 2014 kepada 70 peratus pada tahun 2024.


Ekonomi NBD kekal terbuka dan berhubung rapat dengan ekonomi global. Keterbukaan ini menyokong perdagangan dan pelaburan, namun juga menyebabkan ekonomi domestik terdedah kepada faktor luaran seperti ketegangan perdagangan, tekanan kos import serta turun naik permintaan dan harga global.


Faktor-faktor ini menyumbang kepada turun naik prestasi perdagangan, pergerakan sektor dan inflasi. Oleh itu, usaha kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan daya tahan negara terus menjadi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang.


Close